Roy Tanck's Flickr Widget requires Flash Player 9 or better.

Monday, September 6, 2010

malam 27 ramadhan



malam ini merupakan malam kemuncak bagi seluruh Saudi. Ramai orang berpusu-pusu semenjak tengahari menuju ke MasjidilHaram.

arrh. Nanti saya cerita lagi. Jarak saya berjalan sahaja untuk hari ini saya kira boleh sampai kolumpo.

Saturday, September 4, 2010

malam lailatulQadar lebih baik dari seribu bulan

seekor kucing kelahiran saudi ditangkap tidak berpuasa.
Saya menulis bukan untuk mencari publisiti atau keglemeran walaupun benda itu nampak sangat penting untuk membina network, profesyen, kerjaya dan perniagaan. Bukan. Saya tidak fikir itu adalah niat saya walaupun kadang-kadang seronok juga orang tegur : eh, awak ni blogger na5wa.com kan? terus buat muka paling hensem pernah saya buat.

Seingat saya, saya menulis belog ini hasil pindahan saya dari laman sesawang yang lama iaitu di http://kamitaken.fotopages.com. Entah. Sudah 15 tahun saya tak jenguk laman itu. Mungkin dia sudah dipecat dari kerjanya dan sekarang menjual goreng pisang bersama anak-anak. Mungkin? siapa tahu.

dari laman fotopages itu, saya banyak belajar dan belajar. Saya sedar dalam kehidupan ini perlunya pembelajaran untuk menjadikan kita seorang manusia yang sebenarnya yang disukai Allah dan disukai orang. Tanpa pelajaran, kita takkan dapat hidup dengan tenang akibat bergaduh di sana dan di sini serta tidak disukai orang.

Saya akui. Saya juga ada dibenci orang walaupun hati saya sendiri tidak suka orang membenci saya. Jika boleh, saya inginkan semua orang baik dengan saya dan langsung tidak ada perasaan nak marah dan kecil hati. Oleh sebab itu, jika saya bergaduh dengan isteri saya, paling tidak lama 2 bulan jer saya tegurlah dia balik. Itu pun biasanya najwa yang beralah. Saya ni ego tinggi. Mana boleh kalah pada pompuan.

Kehidupan di kota makkah berjalan dengan lancar dan seperti biasa. Ada orang yang saya sempat ketemui, saya temui. Ada yang tak sempat, minta maaf banyak2. Nak pergi ajak minum pun susah dek kerana masa tidak mengizinkan.

Semalam, berkesempatan berbual bersama Dato' Zahid Hamidi dan berterawikh bersama-sama beliau dan isteri. Dia tak kenal saya. Tapi saya kenal dia. Saya minta izin daripadanya untuk mengambil gambar dari dalam bilik beliau di tingkat 10 Safwah Royale Orchid memandangkan bilik beliau adalah Kaabah View. Sangat cantik dan mabeles. Tapi saya janji pada malam 27 nanti. Esoklah. Sajer nak test polarize filter yang saya beli sampai bergadai gaji. :p

Semalam juga, merupakan hari yang letih dan paling dahaga dalam sejarah kerana lepas solat jumaat, entah macam mana terpandang pulak bukit sheab ali di tepi masjidilharam. Langsung saya naik ke atas bukit itu seorang diri untuk mengambil beberapa keping gambar dari atas sana. Bosan berada di atas seorang diri, saya ajak sekali si dr rahman untuk shoot sama. Berpeluh dia naik atas bukit tuh. Katanya dia dah turun berat dalam 14 kg jugak bila timbang. wakaka. Sangat cantik pemandangan dari atas sana. Tapi panas, dahaga dan letih adalah bayarannya. Nanti perlahan2 saya letakkan gambar jika saya ada ingatan.

Mungkinkah semalam adalah malam lailatulQadar? kerana kami berdua dapat sesuatu yang orang lain susah nak dapat.. betul tak dr rahman? apa dia? biarlah rahsia..

Friday, September 3, 2010

Breaknews


ramadhan 8


ramadhan 5


ramadhan 4


ramadhan 3


ramadhan 2


ramadhan 1



Saban tahun umat Islam menyambut bulan Ramadhan al-Mubaarak yang juga dikatakan bulan untuk kita menguji ketahanan mental dan fizikal. Dari segi sambutan, lain tempat, lain caranya. Di Makkah Al-Mukarramah, perayaan untuk menyambut bulan Ramadhan telah bermula seawal bulan Sya'ban. Pada akhir Sya'ban, penduduk Makkah secara amnya akan berpusu-pusu ke pasaraya dan gedung-gedung jualan untuk membeli-belah dan membuat simpanan stok bagi bulan Ramadhan. Ini kerana, pada bulan Ramadhan, Kota Makkah akan menjadi kota yang paling sibuk berbanding bulan-bulan yang lain kecuali bulan Haji. Oleh itu, sesetengah daripada penduduk telah mengambil inisiatif untuk mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dengan merancang lebih awal perbelanjaan mereka. Termasuk juga pembekalan air zam-zam yang boleh didapati di tempat pengagihan air samada di Qudai atau di Maulud Nabi berdekatan MasjidilHaram. Harga zam-zam sudah diketahui umum akan melambung dengan tinggi dek kerana permintaan melebihi pasaran. Perancangan awal amat diperlukan untuk menjimatkan kos belanja.

Apa yang menarik berada di Kota Makkah ini, pelbagai syarikat swasta akan berlumba-lumba menawarkan khidmat penyediaan makanan berbuka (iftar) untuk golongan yang tidak berkemampuan dan jemaah umrah. Mereka biasanya akan menyediakan pakej bermula dari SR 10, SR 20 dan SR 30 sebagai bayaran untuk pengagihan makanan kepada para jemaah dan penduduk Kota Makkah. Makanan yang disediakan termasuk kurma, roti, air, laban (susu masam) dan sambosa. Golongan arab kaya akan menghulurkan sebanyak-banyaknya sedekah di dalam bentuk ini kerana ia adalah satu sifat tradisi penduduk Makkah dalam memberi layanan kepada para jemaah.

Di dalam bulan Ramadhan, apabila tiba waktu petang, akan kedapatan beberapa kenderaan yang berhenti dan membahagi-bahagikan makanan secara percuma kepada para pejalan kaki. Biasanya mereka akan bertumpu di sekitar MasjidilHaram untuk tujuan tersebut. Kita akan dapat melihat jemaah berebut-rebut untuk mendapatkan makanan secara percuma yang telah diagihkan secara rawak kepada mereka. Sehingga ada yang bertumbuk demi mendapatkan sepaket makanan!

Jika di Mesir, ada pemandu teksi yang memberikan khidmat secara percuma demi untuk meraih ganjaran dari Allah atas usaha itu, namun di Makkah ianya amat berbeza. Mereka, malahannya menaikkan harga sehingga berkali-ganda kerana pengangkutan utama di sini adalah teksi. Harga akan melambung naik apabila tiba 10 malam akhir dari bulan Ramadhan. Saya pernah ditawarkan menaiki sebuah teksi yang berharga SR100 untuk menghubungkan MasjidilHaram dan Aziziah yang terletak hanya kira-kira 5km sahaja. Pengangkutan lain seperti bas juga ada disediakan dengan harga tiket sebanyak SR 2 yang menghubungkan Mina dan terminal bas di Maulud Nabi. Bagi saya, pengangkutan bas adalah salah satu sistem pengangkutan paling efektif sekali di bulan Ramadhan kerana ianya amat menjimatkan kos dan masa.

Majlis berbuka puasa yang paling meriah sudah tentulah di dalam MasjidilHaram. Saat menunggu waktu berbuka kita dapat melihat betapa hubungan silatulrahim yang amat akrab sesama muslim tanpa mengira latar belakang, perkauman dan kebudayaan. Masing-masing berdoa penuh sabar mengharapkan amalan ibadatnya akan diterima Allah. Berlatar belakang Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti Sukkari, Ajwa, Routab, Anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan Teh bersama daun pudina. Antara makanan-makanan juadah berbuka puasa yang diminati di Saudi adalah seperti Sambosa, Shourbah (sejenis sup yang dimasak bersama daging dan makaroni) dan nasi Mandi bagi mereka yang mencari kelainan berbuka di Saudi Arabia ini. Selesai solat maghrib, kebanyakan jemaah akan keluar untuk mendapatkan pelbagai makanan di kedai-kedai berdekatan dan pilihan utama kami sudah tentulah di Felda D'saji yang menyediakan teh tarik tersedap saudi!

Ramadhan membuatkan Kota Makkah menjadi antara bandaraya tersibuk dunia. Manusia datang bertumpu dari serata pelosok dunia. Ramadhan kali ini juga menjadi tempat tumpuan bagi negara-negara teluk yang berdekatan seperti Bahrain, Qatar, Kuwait dan UAE untuk datang berkunjung bagi menghabiskan cuti sekolah yang berlanjutan selama 3 bulan termasuk negara Saudi. Faktor lain yang turut sama menjadi penyumbang bagi kesesakan adalah kerana berlakunya renovasi secara besar-besaran di sekitar MasjidilHaram. Hotel-hotel yang lama seperti Aziz Khooger, Asia Palace, Sofitel, Grand Makkah dan sebagainya telah diruntuhkan untuk tujuan pembesaran kawasan MasjidilHaram.

Seingat saya, ketika saya masih lagi menjadi pelajar ijazah di Jabatan Pengkhususan Bahasa Arab dan Pendidikan, kira-kira 5 tahun lepas, kami bebas boleh membawa motor dan diparkir di sekitar MasjidilHaram kerana orang masih lagi tidak terlalu ramai walaupun di bulan Ramadhan. Ada masanya kadang-kadang saya boleh membawa motor melintasi Bab Assalam menuju ke Ajyad melalui jalan bersebelahan dengan tembok istana. Kini segala-galanya telah berubah. Nak berjalan kaki pun sesak, apatah lagi nak membawa motor.

Malam di bulan Ramadhan akan terus hidup sehingga tiba waktu fajar. Kebanyakan dari mereka menggunakan kesempatan selesai solat terawikh untuk melipat-gandakan lagi amalan dengan terus berada di dalam masjid sehingga waktu subuh tamat kerana jarak antara terawikh dan waktu subuh hanyalah 5 jam. Ada juga di antara penduduk Makkah menggunakan kesempatan pada waktu malam untuk bertandang ke rumah rakan-rakan dan sanak-saudara, bermain bola, berkelah bersama keluarga dan sebagainya lagi sehingga waktu bersahur dan selesai solat subuh. Sejurus sahaja solat subuh, kedai-kedai yang berada agak jauh dari MasjidilHaram akan menutup kaunter dan akan membukanya kembali selepas asar. Waktu pejabat, kelas dan perkhidmatan-perkhidmatan lain di bulan Ramadhan bermula dari jam 10 pagi sehingga selepas asar. Oleh itu, jangan terkejut jika anda ke bank pada jam 9 pagi, pintu bank masih lagi tertutup!

Jika di Malaysia, kita akan dihiburkan dengan rancangan televisyen yang pelbagai termasuk banyak rancangan yang berunsurkan keagamaan. Tidak ketinggalan juga di Saudi, Makkah khususnya. Pelbagai rancangan yang berkonsepkan pengajaran, pemantapan kerohanian dan sebagainya akan ditayangkan bersempena dengan bulan Ramadhan. Namun rancangan yang paling digemari ramai adalah tele-komedi 'tash ma tash'. Rancangan komedi yang hanya ditayangkan selepas waktu berbuka ini banyak menyindir kehidupan masyarakat Saudi sehingga pernah hampir diharamkan. Namun, rancangan itu tetap menjadi permintaan tertinggi di seluruh Saudi.

Sebanyak 6500 orang askar tambahan telah didatangkan dari pelbagai daerah dari dalam Saudi. Mereka merupakan anggota yang terlatih untuk melicinkan pergerakan jalanraya di sekitar MasjidilHaram yang amat sesak dengan manusia dan kenderaan. Setiap 10 meter akan diletakkan seorang askar bagi menghalang mana-mana kenderaan dari memarkir sekaligus menghalang laluan kenderaan lain. Punca utama kepada kesesakan tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kebanyakan 'prebet sapu' yang berlumba-lumba mengambil jemaah yang baru pulang dari MasjidilHaram.

Menjelang 10 akhir dari bulan Ramadhan, manusia akan berduyun-duyun memenuhi masjid dan sebahagian dari mereka akan beritikaf di dalam masjid untuk tempoh 10 hari mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Mereka tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sebesar-besarnya ganjaran di bulan Ramadhan dan paling istimewa jika mendapat malam yang padanya kebaikan melebihi seribu bulan iaitu malam LailatulQadr. Bukan tiada yang pergi membeli-belah untuk keperluan raya, namun sangat minoriti oleh kerana kesedaran yang telah ditanamkan di dalam jiwa masing-masing terhadap fadhilat bulan Ramadhan yang hanya datang sekali setahun. Iklan raya tidak akan berkumandang sehinggalah tibanya 1 Syawal nanti. Budaya ini bagi saya perlu kita contohi untuk membuatkan Ramadhan adalah bulan Ibadah dan bukannya bulan untuk membeli-belah.


Mohd Lutfi Lokman,
Pelajar tahun akhir,
Pengajian Islam,
Jabatan Syariah,
Universiti Umm Al-Qura,
Makkah Al-Mukarramah.

Tuesday, August 31, 2010

Gambar Madinah 2010

madinahh
"Basikal tua"  -Al Aus Hotel, Madinah AlMunawwarah.


madinahh2
Menunggu time berbuka. Mula tak kasi saya duduk. Lepas snap sekeping dua gambar, terus roti bahagi separuh.


madinahh3
Model payung. - Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah.


madinahh4


madinahh5
Payung ketika tutup. Step by step.


madinahh6
Orang kampung saya sebut "ambghella".


madinahh7


madinahh8


madinahh9


madinahh10


madinahh11


madinahh12
kurma muda dan tua. Juga daun mint.


madinahh13
Si Arab tu, ikat wallet dia dengan getah. Takut jatuh duit banyak.


Selamat menikmati gambar-gambar dari saya!

merdekakan diri

Kita kembali kepada 2 hari lepas..

"pi, nko kena bawak dato' Rameli ni pergi Madinah. Tak ada orang nak bawak nih." Arah Pak Abu.

Madinah?? 400km? siang hari? Pheww.

"Baik." Saya menyanggupi.

Kami berlepas ke Airport Madinatul Hujjaj yang sebenarnya bukan semua orang boleh access masuk dalam tu. Saya menelefon wakil Muassasah untuk mengeluarkan Dato' Rameli dari dalam terminal. Di sini saya melihat kepentingan interpreter. Pak Abu tak boleh cakap arab. Mau tak mau, saya dilatih menjadi interpreter dengan menggunakan segala pengetahuan saya dalam bidang bahasa. Kami menunggu hampir 1 jam sebelum si Khaled, wakil muassasah itu dapat keluarkan dato'. Nasihat saya untuk sesiapa yang nak datang umrah, tolonglah jangan datang dengan extra flight. Inilah jadinya nanti.

Kami kemudian menghantar Pak Abu pulang ke bandar Jeddah sebab dia tak pergi ke Madinah dan kami meneruskan perjalanan ke Madinah alMunawwarah tepat jam 12.30 pm.

Perjalanan sangat membosankan dengan udara panas, perut yang lapar dan pemandangan yang sama. Saya sangat mengantuk kerana kekurangan tidur. Tapi perjalanan diteruskan kerana saya fikir, saya sedang membawa tetamu Allah menuju ke Bumi Rasulullah S.A.W. Tak sampai 3 jam lebih saya memandu, kami sampai tepat jam 3.15 pm di bumi Rasulullah itu. Saya membawa dato' ke Hotel Oberoi yang terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi.

Petang di Madinah, saya tidak tidur kerana ada misi yang ingin diselesaikan.

Malam menjelang, saya keluar dengan beberapa rakan iaitu si Naem dan avam votocs (kupih) yang berkebetulan datang ke Madinah. Kami jalan-jalan makan di restoran indonesia berdekatan. Es teh manisnya sedap!

Pulang dari makan sahur, saya mendapat panggilan dari Pak Abu lagi!

"Pi, nko kena balik Mekah. Tak kiralah malam ni ker, atau pagi esok. Dato' Zahid Hamidi nak datang, aku kena iring dia pergi Madinah, tak ada orang nak jaga hotel."

Haa?? saya mana cukup tidor lagi? pagi esok?

saya pulang dan tidur dengan semaxima yang mungkin. Tepat jam 8 selepas dapat tidur hampir-hampir 3 jam, saya bangun. Bangun kerana ingin menguruskan beberapa jemaah yang memerlukan van untuk ziarah. Sekali lagi, tugas penterjemah diaplikasikan untuk berkomunikasi dengan driver van yang hanya tahu cakap bahasa ibunda sahaja.

8.40 am, saya bertolak keluar dari Bumi Rasulullah S.A.W menuju ke Makkah. Saya membawa kenderaan dengan berhati-hati. Teringat orang tersayang yang berada jauh dari mata, saya memperlahankan kenderaan. Biarlah sampai dengan selamat. Perjalanan memakan masa lebih kurang 4 jam. Masalah mengantuk memang satu masalah yang besar. Ada jugak saya berhenti tidur sampai 20 minit di tepi gaung di tengah-tengah padang pasir. Nak mengunyah makanan, tak boleh sebab berpuasa. Jadi, ada baiknya saya tidur untuk hilangkan penat dan mengantuk. Saya terjaga apabila terdengar hon panjang dari sebuah lori yang mungkin ingat saya memerlukan bantuan atas kerosakan kenderaan. Saya mengangkat tangan dan mengucapkan terima kasih. Saya hanya berehat di tepi gaung ini.

Perjalanan diteruskan dengan pemandangan kiri dan kanan adalah padang pasir di tengah-tengah terik panas matahari. Beginikah Rasulullah S.A.W berhijrah dahulu? di mana agaknya jejak laluan Rasulullah S.A.W dan sahabat? Sungguh, itu memang satu cabaran yang maha hebat. Ubatnya hanyalah sabar. Nak buat apa lagi?

Saya sampai di Makkah sekitar jam 12 tengahari. Saya terus ke hotel untuk report kepada bos. Pak Abu mengarahkan saya untuk melakukan check in bagi dato' tersebu di Dar Firdous. Saya naik teksi dengan keadaan mabuk dan mengantuk pergi ke sana. Sampai tengah jalan, jalan terlalu jem sampai saya terpaksa berjalan kaki sejauh 2km. Boleh tahan jugak dia punya panas. Berpeluh-peluh dibuatnya. Saya betul-betul tercabar dengan cabaran ini. Satu mengantuk, lapar, dahaga, letih, rasa bengang dan macam-macam lagi rasa ada di dalam benak kepala saya. Kadang-kadang terfikir kenapa saya menyanggupi kerja-kerja begini? Ah. Malas saya fikir. Orang lain seronok bersedap-sedap bersama keluarga, saya pulak teruk-teruk kena bekerja. Pengorbanan. Itu saya pujuk hati saya.

Tiba di hotel kembali, saya tak boleh tidur juga lagi. Terpaksa selesaikan beberapa masalah bilik yang bercelaru apabila tiba 10 malam terakhir. Harga bilik sudah naik sehingga ke ribuan riyal. Jemaah juga berebut dan memeningkan kepala. Saya sudah naik letih dengan masalah ini. Jemaah yang ada depan saya ada dari kuwait, oman, saudi, indonesia dan mesir. Cukup lengkap fikir saya untuk membuatkan otak saya tersangat mereng dan nampak mereka semua kecil-kecil termasuk pak abu. Saya duduk di atas kerusi kaunter tanpa membuat apa-apa kerja dan saya terpaksa biarkan pak abu bercakap dengan mereka. Saya diam. Pak abu mulai perasan keadaan itu dan suruh saya naik berehat.

Hati sudah mulai berbunga apabila pak abu suruh saya berehat. Memang saya nampak bantal dan katil sahaja ni. Masakan tidak, baru 3 jam tidur sebelum melalui perjalanan jauh. Menapak pergi tekan lif, pak abu pesan. Pi, pukul 6 petang kita gerak pergi airport. Aku nak pergi madinah...

saya lihat jam di blackberry. Lagi 1 jam setengah. Buat apa tidur. Kalau tidur sekalipun, tak cukup. Buat pening kepala jer. Saya naik, mandi dan bersiap hantar Pak Abu ke airport Saudia terminal VIP untuk menyambut Dato' Zahid Hamidi. Kami bertolak jam 6.12 petang dan sampai jam 7 malam di terminal VIP King Abdul Aziz Airport. Saya tunggu dalam kereta sementara Pak Abu pergi sambut dato'. Kepala saya sudah mulai menjadi besar dan banyak benda saya nampak kabur. Itu mungkin kekurangan tidur.

Kami kemudiannya pergi ke North Terminal (Foreign Airport) untuk mengambil barang Dato' dan menghantar Pak Abu menaiki limosin ke Madinah. Jam 9 malam, saya pulang ke Makkah dan sampai jam 10.30 malam. Orang dah habis terawih. Balik ke hotel, menghadap isu hotel pulak yang tak abis-abis dengan bilik tak cukup, silap booking. Macam-macam hal. Saya senyum..

...

2 jam sebelum.

Saya memandu GMC hitam berplat 7070. Side mirrornya ada lampu signal warna merah. Bumbung boleh bukak kalo nak merasa matahari terus atas kepala. Saya berjanji dengan Pak Abu untuk mengambilnya di Safwah Royale Orchid kerana dia sebenarnya ada urusan ke sana sebelum bertolak ke airport. Di dalam perjalanan ke Jeddah Pak Abu mulai bukak ceramah.

"Dalam berniaga pi, kita mesti nak untung. Untuk jual sesuatu perkara, kita kena tahu berapa margin profit yang kita dapat. Untung, rugi, itu semua kita kena fikir dan plan sebelum nak buat apa-apa tindakan dalam jualan. Kalau orang minta diskaun, kita sepatutnya kena naikkan dulu harga sebelum kita diskaun barang tersebut. Ini orang panggil 'rugi pada untung'. Kalau harga barang kita tak naikkan, orang mintak diskaun, itu orang panggil 'rugi pada pangkal'. Nko kena tahu semua ni pi. Rugi pada untung tak ada apa-apa kesan. Tapi kalau rugi pada pangkal, bungkuslah kau punya bisnes."

Saya hanya mengangguk sahaja. Apa benda dia berleter, saya pun tak berapa paham sangat.

"lagi satu, aku ajar nko semua perkara ni sebab aku nampak nko akan jadi pelapis kepada kitorang. Aku ni, ikut atas kertas, berapa hari jer lagi nak hidup? esok lusa mungkin mati."

"eh, jangan mati lagi pakcik. Gaji saya tak dapat lagi. Saya doa pakcik panjang umo." Saya mencelah dengan cepat.

Pak Abu ketawa.

"Jangan bimbang. Pasal duit, ko jangan risau. Ni semua ilmu-ilmu aku bagi ni takde belajar dalam silibes sekolah. Universiti nko pun tak belajar benda nih. Aku turunkan ilmu sikit demi sikit pada nko sebab aku tahu, kami takkan ada lagi pelapis yang berminat mengenai perkara ini. Aku nak turunkan pada anak aku pun, dia bukan ada kat sini. Dia tak tahu selok-belok perniagaan kat Mekah ni. Nko lain, ko dah ada kat sini, boleh komunikasi dan nko kenal orang-orang yang aku tunjukkan pada nko. Itu sebab aku kasi nko cakap dengan diorang. Biar diorang pun kenal. Bina network pi. Jangan duduk dalam kelompok sahaja. Ini masanya. Peluang untuk ko bina masa depan." Terang Pak Abu panjang lebar lagi.

Kata-kata itu terngiang-ngiang dalam telinga. Itu sebab saya fikir, dia suruh saya cakap dengan beberapa arab yang sebelum saya ada ni pun, sebenarnya Pak Abu boleh cakap. Tapi kenapa dia tetap jugak suruh saya. Mula-mula saya fikir, dia ni macam jenis bos. Suruh s/u cakap dan aturkan segala perkara. Letih ah. Tapi bila tiba semalam, saya baru faham mengapa dia menyuruh saya melakukan pelbagai perkara yang bagi saya memang takkan saya dapati kalau saya bersedap-sedap cuti di Malaysia dan menghabiskan masa bersama orang tersayang. Alhamdulillah, saya sabar dan tak pukul orang tua.

 Itu sebab, tajuk di atas adalah merdekakan diri. Bebaskan diri anda dari pelbagai persangkaan yang buruk. Untuk mendapat sesuatu yang baik, memang mahal harganya. Anda beruntung kerana dapat membaca pengalaman saya dan tidak mengalaminya sendiri. Letih dan hampir-hampir putus asa. Selamat menyambut bulan kemerdekaan yang 53. Walaupun saya jauh di perantauan, saya tak lupakan negara kita Malaysia. Saya sayang Malaysia dan saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Tolong jangan kecewakan kebanggaan saya itu.



Sunday, August 29, 2010

HIDUP SEORANG BLOGGER

ramadhan madinah
Payung di sekitar Masjid Nabawi yang ditutup sejurus selesai solat asar. Nikkor 70-200mm f2.8


Jam menunjukkan hampir pukul 3.18 minit pagi. Saya berjalan pulang dengan perlahan sambil membawa kaki yang sakit ini terseret sama. Pulang dari felda dsaji selepas bersahur bersama dr rahman. Saya melintasi beberapa pintu masjidilharam seperti bab ajyad, bab ismail dan lain2 pintu. Saya melirikkan pandangan ke kiri dan kanan melihat2 orang di sekitar masjid. Kelihatan makwe turkey sedang begitu enak menikmati shawarma. Memang shawarma buatan turkey sedap-sedap dan cantik. Eh!

Kemudian saya melajukan langkah menuju ke stesen bas yg terletak semakin hampir jaraknya. Tiket berharga 2 riyal saya keluarkan untuk diberikan kepada penjaga tiket sambil saya bergurau, tak ada ke diskaun pagi2 buta ni? Dia tersengih menampakkan giginya yang putih dan bersih. Pakai darlie kot? Bukan apa, bergurau dengan mereka yg sedang bosan melakukan pekerjaan sama pasti akan memberikan sedikit penghargaan dan keceriaan kepada mereka. Itu fikir saya.

Saya meneruskan perjalanan menaiki bas saptco berwarna oren pekat untuk menuju ke destinasi saya iaitu parking jamaraat.  Di dalam bas, saya berada di hadapan seorang turkey dan seorang arab yang berjanggut. Agak muda. Kelihatannya sekitar awal 30-an. Si turkey saya agak berumur dalam lingkungan 50 tahun. Mereka berbual dalam bahasa inggeris. What ur name, where r u come from dan blablabla. Pemuda arab di sebelahnya menjawab dengan begitu fasih dalam lahjah bahasa inggeris britain. Macam mr bean pun ada bunyi dia. Tapi betul-betul fasih. Rupa-rupanya dia lepasan dari sebuah univ di england yang saya tak dapat tangkap butir perbualan mereka. Kini merupakan seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah tempatan di Makkah.

Apa yang menarik adalah nasihat si Turkey kepada pemuda tersebut agar bersungguh menyambung pelajaran sehingga mencapai tahap PhD. Jangan berhenti setakat apa yang anda capai hari ini. Kita boleh pergi jauh dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Tanpa kedua-dua elemen tersebut, kita akan terkandas. Pemuda arab itu mengangguk-angguk, mengiyakan perbualan si Turkey.

"Lihat umat Islam hari ini. Mereka ditindas oleh Yahudi dan musuh-musuh Islam. Kenapa? kerana mereka kurang dalam ilmu pengetahuan. Ilmu juga mungkin ada, akan tetapi tidak dapat diaplikasikan. Buat apa? Kami orang-orang Turkey mendidik anak-anak kami agar berusaha dalam pelajaran agar dapat pergi ke peringkat tertinggi. Kekuatan kami juga kami tingkatkan dari segi tentera, polis dan sebagainya. Kita mahu menjadi umat Islam yang bertamadun dan ke depan. Bukan mundur ke belakang!" Terang si Turkey dengan wajah yang bersemangat.

Lagi sekali, si pemuda arab itu mengangguk-angguk mengiyakan isi perbualan si Turkey.

Bas telah pun tiba ke destinasi. Kami turun selepas gembira dengan ceramah percuma yang diberikan oleh si Turkey dan impak yang mendalam buat kami berdua. Eh, dia bukan bercakap dengan saya. Saya mendengarnya sahaja. Apabila tiba di bawah, kelihatan seorang lagi pemuda arab sedang bergaduh dengan driver bas Saptco tersebut. Memaki dan menghina pemandu bas yang juga seorang arab Sudan.

"Aish nafsak!" Katanya si Sudan kepada arab Saudi itu.

"Ish gouul enta? ish goul? Tahaddani ha?" Jawab si arab Saudi dengan menendang-nendang pintu bas dan ditenangkan oleh orang ramai yang berada di situ.

Kaki sapa sakit?

Hmm .. ilmu pengetahuan dan pendidikan juga mentaliti fikir saya sendirian sambil menyeluk tangan di poket mengeluarkan kunci kereta. Saya terus berlalu dan merenung kata-kata hikmat si Turkey itu tadi. Jemaah Turkey di Makkah kini menguasai sebahagian hotel-hotel besar di sekitar MasjidilHaram dan Aziziah. Mereka menggunakan perkhidmatan bas untuk berulang-alik dari hotel ke MasjidilHaram bagi yang tinggal jauh dari kawasan masjid. Mereka mempunyai bas sendiri yang telah diperuntukkan khas untuk bangsa mereka. Mereka bekerjasama memastikan keselamatan jemaah mereka terjamin di bumi asing dari tempat kelahiran mereka.

...

Sepanjang saya tinggal di Saudi, saya langsung tidak pernah mendengar orang yang tinggal 'agak lama' di bumi Saudi ini mengatakan orang Saudi ini baik dan apa yang berkaitan dengannya. Benar. Semuanya yang negatif dan teruk-teruk. Ini saya akui dari apa yang saya hadapi dan alami selama ini. Mereka memang kebanyakannya bersikap demikian. Jarang sekali yang kedapatan bersifat seperti 'orang'. Kecuali makcik-pakcik yang datang solat dan duduk di sekitar-sekitar masjid sahaja. Mungkin mereka nampak arab ini malaikat. Apapun tohmahan yang diberikan, mereka sebenarnya menjalankan apa yang telah Allah tetapkan untuk mereka dan untuk kita. Pengajaran dari sikap mereka perlu kita ambil iktibar dan tauladan. Semoga bangsa melayu akan terus ke hadapan dan bertamadun. Err.. Orang arab takleh baca belog ini kot?

...

Apa yang saya lontarkan di atas adalah contoh-contoh isu belog. Itu semua tugas dan tuntutan kita sebagai seorang blogger. Belog adalah tempat kita meluahkan apa yang kita fikirkan dan kita rasakan untuk kita kongsikan bersama orang lain yang membaca. Ia ibarat diari online yang perlu diisi dan ditulis sebagai salah satu kerja dakwah kita kepada  umat manusia yang lain yang mampu membaca dan berminat. Apa yang kita kongsikan kadang-kadang orang lain tak pernah terfikir pun mengenainya. Kita apabila membaca, kita pun mendapat sedikit sebanyak pengetahuan dan ilmu dari apa yang telah mereka, si blogger telah luahkan di dalam belog masing-masing. Gunakan sebaik mungkin medan berbelog sebagai tempat mengaut saham akhirat dengan sepenuhnya.

Kesimpulannya, HIDUP SEORANG BLOGGER bukanlah suatu perkara yang mudah dan remeh. Anda menjadi sebahagian daripada pendidik kepada masyarakat.

Lutfi Lokman,
 Al Aus Hotel,
Madinah Al-Munawwarah.

Sent from my BlackBerry®

Friday, August 27, 2010

malam 18 ramadhan

Malam ini saya pergi solat tarawikh. Sebab sebelum-sebelum ini, saya solat dengan tidak beberapa sempurna. maksud tidak beberapa sempurna ialah fikiran saya banyak pergi ke tempat lain ketika solat. Juga solat saya tidak penuh sehingga tamat 23 rakaat.

Alhamdulillah, dulu saya pernah cerita betapa fanatiknya saya terhadap syeikh Shuraim, maka malam ini, Allah pertemukan saya dengan dia. Maksud pertemuan itu ialah, saya solat dan dia jadi imam. Bacaannya seperti dulu. Lantang, keras dan bersahaja. Membuatkan hati menggamit pada pertemuan pertama dengan si dia. Nak tau cerita-cerita silam saya, beleklah entri bulan Ramadhan yang lepas-lepas. Ada saya cerita mengenai kenangan saya dan beliau. :p

waseem kerat rambut
Berhati-hati apabila mengambil gambar. Bimbang budak-budak terjatuh. Saya rindu budak ini!


IMG00730-20100820-0234
Pemandangan di dalam tempat tawaf yang dipanggil mataf. Kelihatan Kaabah yang dari dulu lagi memang di situ tempatnya.


IMG00732-20100820-0245
Pemandangan dari Mas'a. MasjidilHaram. Bigben kelihatan. wakaka. Bigbeng.


IMG00735-20100825-2237
Haram view - pemandangan dari bilik 1002, hotel Al Waleed Royal, Ghazzah.


IMG00736-20100827-1343
Maulud Nabi - tempat mengambil zamzam yang penuh sesak dengan manusia di waktu zuhur tadi.

pesanan kepada para jemaah umrah yang ingin datang ke Makkah. Sila ambil perhatian!

Sudah lama tidak berfotografi. Maksud saya, meluangkan masa dalam perkara kamera. Duduk-duduk tengok kamera, cuci, tiup debu, pasang lens, bukak lens, angkut kamera, shoot gambar sekeping dua keping tanpa otak ada apa-apa perasaan pening kepala untuk berfikir mengenai kerja. Ya. Sudah lama.

Semalam, kami menjemput jemaah dari KL untuk dibawa masuk ke Makkah. Lupa saya nak pesan kepada para jemaah yang akan tiba ke Jeddah samada melalui penerbangan Saudi Airlines ataupun Malaysia airlines atau apa2 penerbangan, anda akan keluar melalui pintu keluar yang mana akan ada seorang atau dua orang atau 3 orang arab berpakaian putih menunggu anda untuk mengambil passport. Mereka adalah daripada syarikat Tasheel yang mana menguruskan pendaftaran anda di negara ini. Jika anda datang melalui visa umrah, merekalah yang bertanggungjawab memastikan anda selamat sampai ke destinasi yang telah ditetapkan. Jangan bimbang mengenai keselamatan passport anda. Mereka hanya mengambil untuk diserahkan ke kaunter Tasheel yang terletak di sebelah kiri pintu keluar samada di International Airport atau di Saudi Airport. Kemudian pihak wakil Muassasah seperti Mazaya, Bena atau lain-lain akan bertanggungjawab untuk mengambilnya dan menyerahkan kembali kepada travel agensi anda.

Semalam, kami sudah menjadi wakil muassasah. Jemaah pertama yang sampai daripada Cantumas Travel didaftarkan melalui muassasah Bena. Oleh yang demikian, kami pun terpaksa berlakon menjadi Muassasah Bena untuk mempercepatkan urusan pengambilan passport. Alhamdulillah.. selesai.

Pulang ke Makkah dalam pukul 10.00 malam, jalan masih lagi tidak jem memandangkan terawih masih  belum selesai.

Kemudian dalam jam 1.00 pagi, sekali lagi kami ke airport untuk mengambil jemaah dari Abu Dhabi yang sampai melalui penerbangan Nas Air. Juga di Terminal Saudia. Kali ini, kami menjadi wakil Muassasah Mazaya pulak. Dah tu, lambat sangat nak tunggu urusan untuk penyerahan passport. Apa salahnya sekali sekala jadi wakil muassasah. Arab yang bekerja di kaunter pandang atas bawah kepada saya. Nasib baik dia tidak minta ID saya. Jika tidak, mungkin dia akan bertanyakan saya perihal universiti Umm alQura dan cara untuk memohon masuk belajar ke sana.

Alhamdulillah, kami sempat keluar dari airport dan singgah bersahur di Restoran Ruhaily, Jeddah. Restoran tersedap menjual nasi Mazbi (ayam panggang atas batu).

Hari ini, saya bangun nyaris-nyaris sebelum imam berkhutbah. 2 kali ulang alik Jeddah. Macam Pete Sampras pun ada.

Thursday, August 26, 2010

institusi kekeluargaan yang goyah

institusi kekeluargaan adalah institusi yang mulia. Ia melibatkan banyak pihak yang perlu kita ambil berat dan ambil kisah. Saya rindu waseem dan naseem. Terima kasih.

Wednesday, August 25, 2010

air musyammas

cm sabah
 Felda D'saji, Makkah.



Air musyammas :
Air musyammas (ﻣﺸﻤﺲ) adalah air yang terjemur di bawah panas matahari bagi negeri-negeri beriklim panas. Hukum air tersebut hanya pada air yang diisi ke dalam bekas yang bukan emas dan perak.
Air tersebut hanya makruh ketika panas untuk digunakan pada badan dan makanan serta minuman. Walau bagaimanapun, air yang masih panas tersebut boleh digunakan untuk membasuh pakaian. Air yang sudah menyejuk tidak lagi makruh digunakan.

Mengikut kepahaman, air yang terdedah kepada matahari, makruh digunakan kerana ianya memudaratkan si pengguna. Baru-baru ini, saya terpaksa ke airport kerana menghantar para jemaah pulang. Sudah saya tegaskan dahulu yang saya ini adalah pekerja sementara sahaja. Bukan sepenuh masa. Saya tetap pelajar di sebuah universiti tempatan. Pulang dari menghantar jemaah pulang, saya memandu seorang diri membawa kenderaan pulang ke Makkah. Akibat terleka, saya terlupa untuk membeli bekalan bagi berbuka. Sampai di persimpangan menuju ke Qudai, orang sudah azan maghrib menandakan waktu berbuka telah tiba. Saya kalut mencari kedai untuk berbuka puasa. Namun, kesemuanya telah tutup. Di dalam kereta, saya ternampak bekas air botol yang masih lagi bersisa. Tanpa pikir panjang, saya pun menelan air tersebut dan rasanya pun macam masih lagi oke kecuali ianya berada lama di dalam kereta dan terkena pancaran matahari. Mungkin hukumnya makruh kerana dikhuatiri air yang terdedah lama kepada cahaya matahari akan mengakibatkan bahan kimia dari botol tersebut akan bercampur. Namun, saya tidak mempunyai apa-apa pilihan selain minum air itu. Takkan nak korek hidung?

Perkara-perkara begini mengajar saya erti kedewasaan. Jika beberapa tahun yang lampau, kami wajib berbuka puasa di rumah bersama keluarga. Mengelilingi hidangan dan menunggu waktu berbuka. Berdoa bersama-sama di hadapan rezeki yang Allah kurniakan. Menikmati air bandung, air oren, air sirap dan sebagainya. Namun, apa yang saya fahami dan mengerti mengenai konsep berbuka ini sebenarnya adalah kegembiraan untuk menyambutnya bersama-sama hati yang tulus mengharapkan keredhaan Allah. Jika dahulu, saya amat sedih jika tak dapat berbuka dengan nasi, minum air yang sejuk dan sedap, namun kini ianya sudah tidak bermakna lagi. Bukan saya tidak teringin, tapi jiwa saya sudah mula belajar untuk mengetepikan perkara 'sentimental' dalam kehidupan. Ada, alhamdulillah. Tak ada, alhamdulillah. Konsep yang simple dan mudah dengan makanan telah saya cuba adaptasi dalam kehidupan seharian.

Jauh berjalan, luas pengalaman. Itulah satu perkara yang kami selalu bincangkan bersama ust Rafidi. Staff Cantumas Travel yang pernah belajar di Adelaide, Aussy suatu masa dahulu. Kelemahan kita orang melayu, kita sudah berasa kita yang terbaik. Sedangkan kita tak pernah melihat lagi kaum yang lain. Jangan terlalu cepat mendabik dada sedangkan kita tak pernah pun keluar dari Malaysia untuk melihat apa yang berada di luar sana. Rata-rata masyarakat Saudi juga memiliki perkara ini. Mereka merasakan, merekalah kaum yang disebut dalam Al-Quran dan merekalah yang terbaik hanya kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka, kerana Nabi Muhammad S.A.W berbangsa mereka dan kerana bahasa syurga adalah bahasa mereka. Itu sebenarnya tak menjanjikan mereka sebaik-baik kaum. Sikap, mentaliti dan muamalah mereka bersama manusia bagi saya sangat jauh ke belakang.

Apapun, saya masih lagi mengidam untuk berbuka bersama ikan goreng, singgang dan budu! Pesan emak, bukan senang nak senang. Yer. Sangat sengsara untuk mengecapi sebuah kesenangan. Semoga kesenangan yang bakal kita kecapi, dapat kita kongsikan bersama insan tersayang!

ShoutMix chat widget