bangunan lama dan bangunan baru..
Itu tajuk yang menarik. Fikir saya sendirian. Kagum dengan idea sendiri yang muncul secara tidak sengaja. Melampau betul tahap kekaguman itu. Sebenarnya saya membelek-belek gambar yang saya tak publish lagi di sini. Kebetulan pula jumpa 2 keping gambar yang saya rasa sangat memberi makna. Ia adalah ibarat perbandingan.
Ya. Perbandingan di antara 2 perkara. Yang lama dan baharu. Betul kan eja 'baharu' seperti itu? bukan 'baru'? oke.
Yang lama kadang-kadang dipinggirkan dan diketepikan. Jarang-jarang ingin diketengahkan dan diaplikasikan dalam kehidupan harian. Lihat pun sebelah mata sahaja. Kadang-kadang tak pakai mata pun lihat. Main sepak-sepak dengan hujung jari sahaja. Lebih hina lagi, hujung jari tadi yang terkena, dibasuh dengan clorox takut tempias kekotoran terkena dan menghilangkan gaya metropolitan dan kebandaran diri kita. Fuh. Saya sendiri naik pening dengan istilah yang saya reka. Oke, teruskan pembacaan anda.
Yang baru selalunya akan dipuji-puji. Akan disebut-sebut dan akan diperdengarkan dengan segala macam bentuk keindahan. Itu lumrah alam. Manusia menyukai perkara baru dan perkara yang telah terbiasa dengan mereka seolah-olah telah bosan untuk dipermainkan berulang kali. Kecuali beberapa perkara yang sangat sukar untuk diterima-pakai dalam kehidupan seperti pegangan aqidah, kepercayaan, kasih sayang dan perkara-perkara subjektif yang lain. Sukar untuk difahami? Tak apa, teruskan pembacaan anda. Saya kini berbicara dengan anda.
Terjemahan dari perbandingan di atas, kita halakan ke dalam kehidupan harian kita. Orang lama atau disebut orang tua, selalunya kaya dengan pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang jarang-jarang orang muda atau orang baru memilikinya. Mereka, dengan gaya tersendiri dan imej yang tersendiri terbina hasil usaha mereka di waktu muda sangat berminat untuk melimpahkan ilmu kepada orang baru atau orang muda yang masih sangat dahagakan pengetahuan dalam membina kehidupan terumbang-ambing mereka.
Oleh sebab itu, kita digalakkan berada bersama golongan tua atau lama itu tadi untuk menimba pengalaman dan pengetahuan disamping memperkayakan keperkasaan diri kita dari ditipu oleh alam kehidupan yang penuh dengan pentas rekaan dan pancaroba buatan. Tanpa guideline atau panduan dari orang lama, kita pasti kecundang dan ditelan arus dengan kehidupan tanpa matlamat dan tujuan.
Pagi tadi, saya datang bekerja tepat jam 8 pagi. Selayaknya saya memarkirkan kereta di Mahbas Jin, tempat parking kereta yang berbumbung dan free. Kemudian saya menggalas beg sandang yang berisi laptop dan segala perihal kerja saya untuk menuju ke tepi jalan besar sebelum menahan mana-mana taxi atau prebet sapu yang 'bernasib baik' membawa saya menuju ke masjidilharam. Bayarannya hanya 2 riyal sahaja. Kami berhenti di tepi Conference Palace atau Istana tetamu di tepi pintu Malik Abd Aziz (gate 1). Saya kemudiannya akan menyambung lagi perjalanan santai saya menuju ke Hotel Hajeej yang terletak di Misfalah. Kira-kira 500 m dari dataran MasjidilHaram.
9.30 pagi, mendapat panggilan dari 'orang lama' yang saya amat kagumi dan kadang-kadang letih juga berurusan dengan dia iaitu Pak Abu. Beliau sudah 20 tahun terjun dalam bidang perhotelan dan juga management. Lebih dari itulah. Kami bertemu dan bersarapan bersama-sama di Felda Dsaji. Kami berbual bersama termasuk rakan saya iaitu si Falah dan si Din (Chef d Party) yang berasal dari Kole Berang.
Antara perkara menarik yang Pak Abu ungkapkan adalah istilah 'opportunity knock once'. Kata pak Abu, nko tak boleh lambat. Nko kena cepat dalam pemikiran dan dalam membuat tindakan. Teragak-agak akan melemahkan diri dan membuatkan keputusan terbantut. Itu tak bagus. Kami mengangguk-angguk.
Air ditelan dengan rakus. Kami hanya meminum air teh dan kopi ginseng sahaja. Bekalan yang mak saya kirimkan tempohari saya kongsikan bersama rakan-rakan.
Selain itu, Pak Abu juga terus-terang cakap. Orang agama ni, diorang betul bab bercakap, ilmu pengetahuan tentang agama memang bagus dan banyak. Tapi, bab management, out! Pak Abu pun menceritakan beberapa cerita tentang perihal ustaz Doktor Phd yang pernah datang berurusan dengan syarikatnya.
Suatu hari, si ustaz Dr ni bawa jemaah. Dia sudah sampai awal di Hotel Hilton, Madinah. Dalam daerah pukul 7 pagi. Selesai sarapan, bilik tak siap-siap lagi. Tiba-tiba dia nampak Pak Abu dan terus dia maki-maki Pak Abu tentang perihal bilik yang tak siap ni. Janji tak serupa bikinlah dan macam-macam lagi tohmahan yang keluar. Pak Abu (hero mesti tenang) rileks bertanya :
"Ustaz, ustaz punya brochure ada tak? Kasi saya tengok." Pinta Pak Abu.
Ustaz Dr itu pun memberikan Pak Abu dia punya Brochure.
"Ustaz, ini tarikh masuk bila ke hotel nih?" Tanya Pak Abu perlahan.
"Ini kan tarikh hari ini. Sepatutnya kami sudah boleh masuk bilik!" Ustaz tersebut semakin naik angin tengok Pak Abu rileks jer jawab. Takde debar-debar dan takut-takut. Muka goyah pun takde. Konfiden betul.
"Oke, Ustaz dah makan?"
"Yerlah. Makan tu sudahlah. Kami nak bilik!" Ustaz sudah tak berapa sabar lagi.
"Ustaz nasib baik, alhamdulillah hotel kasi makan. Cuba ustaz tengok kat dinding, Check in hotel pukul berapa?"
"err.. "
"ustaz, saya tahu ustaz banyak ilmu, tapi ustaz punya ilmu tak guna kalo ustaz tengking-tengking saya depan jemaah untuk malukan saya dan cover ustaz. Itu check in tulis pukul 2 petang! Kalo ustaz nak masuk pagi ini, bookinglah dari semalam! Ustaz ada faham ka?"
Sampai ke Makkah, diam jer ustaz tu pi, tak banyak komplen. Terang Pak Abu kepada kami.
Hehe.. Cerita yang cukup bermanfaat dan memberikan impak kepada kami yang melalui jalan ustaz-ustaz. Oleh itu, pesan saya banyakkan berkawan dengan golongan tua dan golongan lama. Itu termasuklah ibubapa kita. Merekalah yang akan menasihati kita dengan secara percuma dan tanpa apa-apa niat untuk mendapatkan balasan. Hormatilah mereka dengan setinggi penghargaan kerana apa yang diterima oleh kita hari ini amat bernilai dan amat sukar untuk digarap di dalam mana-mana lapangan institusi pendidikan formal.
-Baca balik gaya bahasa saya hari ini, boleh terpilih masuk anugerah cerpen terbaik nih!