Kita kembali kepada 2 hari lepas..
"pi, nko kena bawak dato' Rameli ni pergi Madinah. Tak ada orang nak bawak nih." Arah Pak Abu.
Madinah?? 400km? siang hari? Pheww.
"Baik." Saya menyanggupi.
Kami berlepas ke Airport Madinatul Hujjaj yang sebenarnya bukan semua orang boleh access masuk dalam tu. Saya menelefon wakil Muassasah untuk mengeluarkan Dato' Rameli dari dalam terminal. Di sini saya melihat kepentingan interpreter. Pak Abu tak boleh cakap arab. Mau tak mau, saya dilatih menjadi interpreter dengan menggunakan segala pengetahuan saya dalam bidang bahasa. Kami menunggu hampir 1 jam sebelum si Khaled, wakil muassasah itu dapat keluarkan dato'. Nasihat saya untuk sesiapa yang nak datang umrah, tolonglah jangan datang dengan extra flight. Inilah jadinya nanti.
Kami kemudian menghantar Pak Abu pulang ke bandar Jeddah sebab dia tak pergi ke Madinah dan kami meneruskan perjalanan ke Madinah alMunawwarah tepat jam 12.30 pm.
Perjalanan sangat membosankan dengan udara panas, perut yang lapar dan pemandangan yang sama. Saya sangat mengantuk kerana kekurangan tidur. Tapi perjalanan diteruskan kerana saya fikir, saya sedang membawa tetamu Allah menuju ke Bumi Rasulullah S.A.W. Tak sampai 3 jam lebih saya memandu, kami sampai tepat jam 3.15 pm di bumi Rasulullah itu. Saya membawa dato' ke Hotel Oberoi yang terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi.
Petang di Madinah, saya tidak tidur kerana ada misi yang ingin diselesaikan.
Malam menjelang, saya keluar dengan beberapa rakan iaitu si Naem dan
avam votocs (kupih) yang berkebetulan datang ke Madinah. Kami jalan-jalan makan di restoran indonesia berdekatan. Es teh manisnya sedap!
Pulang dari makan sahur, saya mendapat panggilan dari Pak Abu lagi!
"Pi, nko kena balik Mekah. Tak kiralah malam ni ker, atau pagi esok. Dato' Zahid Hamidi nak datang, aku kena iring dia pergi Madinah, tak ada orang nak jaga hotel."
Haa?? saya mana cukup tidor lagi? pagi esok?
saya pulang dan tidur dengan semaxima yang mungkin. Tepat jam 8 selepas dapat tidur hampir-hampir 3 jam, saya bangun. Bangun kerana ingin menguruskan beberapa jemaah yang memerlukan van untuk ziarah. Sekali lagi, tugas penterjemah diaplikasikan untuk berkomunikasi dengan driver van yang hanya tahu cakap bahasa ibunda sahaja.
8.40 am, saya bertolak keluar dari Bumi Rasulullah S.A.W menuju ke Makkah. Saya membawa kenderaan dengan berhati-hati. Teringat orang tersayang yang berada jauh dari mata, saya memperlahankan kenderaan. Biarlah sampai dengan selamat. Perjalanan memakan masa lebih kurang 4 jam. Masalah mengantuk memang satu masalah yang besar. Ada jugak saya berhenti tidur sampai 20 minit di tepi gaung di tengah-tengah padang pasir. Nak mengunyah makanan, tak boleh sebab berpuasa. Jadi, ada baiknya saya tidur untuk hilangkan penat dan mengantuk. Saya terjaga apabila terdengar hon panjang dari sebuah lori yang mungkin ingat saya memerlukan bantuan atas kerosakan kenderaan. Saya mengangkat tangan dan mengucapkan terima kasih. Saya hanya berehat di tepi gaung ini.
Perjalanan diteruskan dengan pemandangan kiri dan kanan adalah padang pasir di tengah-tengah terik panas matahari. Beginikah Rasulullah S.A.W berhijrah dahulu? di mana agaknya jejak laluan Rasulullah S.A.W dan sahabat? Sungguh, itu memang satu cabaran yang maha hebat. Ubatnya hanyalah sabar. Nak buat apa lagi?
Saya sampai di Makkah sekitar jam 12 tengahari. Saya terus ke hotel untuk report kepada bos. Pak Abu mengarahkan saya untuk melakukan check in bagi dato' tersebu di Dar Firdous. Saya naik teksi dengan keadaan mabuk dan mengantuk pergi ke sana. Sampai tengah jalan, jalan terlalu jem sampai saya terpaksa berjalan kaki sejauh 2km. Boleh tahan jugak dia punya panas. Berpeluh-peluh dibuatnya. Saya betul-betul tercabar dengan cabaran ini. Satu mengantuk, lapar, dahaga, letih, rasa bengang dan macam-macam lagi rasa ada di dalam benak kepala saya. Kadang-kadang terfikir kenapa saya menyanggupi kerja-kerja begini? Ah. Malas saya fikir. Orang lain seronok bersedap-sedap bersama keluarga, saya pulak teruk-teruk kena bekerja. Pengorbanan. Itu saya pujuk hati saya.
Tiba di hotel kembali, saya tak boleh tidur juga lagi. Terpaksa selesaikan beberapa masalah bilik yang bercelaru apabila tiba 10 malam terakhir. Harga bilik sudah naik sehingga ke ribuan riyal. Jemaah juga berebut dan memeningkan kepala. Saya sudah naik letih dengan masalah ini. Jemaah yang ada depan saya ada dari kuwait, oman, saudi, indonesia dan mesir. Cukup lengkap fikir saya untuk membuatkan otak saya tersangat mereng dan nampak mereka semua kecil-kecil termasuk pak abu. Saya duduk di atas kerusi kaunter tanpa membuat apa-apa kerja dan saya terpaksa biarkan pak abu bercakap dengan mereka. Saya diam. Pak abu mulai perasan keadaan itu dan suruh saya naik berehat.
Hati sudah mulai berbunga apabila pak abu suruh saya berehat. Memang saya nampak bantal dan katil sahaja ni. Masakan tidak, baru 3 jam tidur sebelum melalui perjalanan jauh. Menapak pergi tekan lif, pak abu pesan. Pi, pukul 6 petang kita gerak pergi airport. Aku nak pergi madinah...
saya lihat jam di blackberry. Lagi 1 jam setengah. Buat apa tidur. Kalau tidur sekalipun, tak cukup. Buat pening kepala jer. Saya naik, mandi dan bersiap hantar Pak Abu ke airport Saudia terminal VIP untuk menyambut Dato' Zahid Hamidi. Kami bertolak jam 6.12 petang dan sampai jam 7 malam di terminal VIP King Abdul Aziz Airport. Saya tunggu dalam kereta sementara Pak Abu pergi sambut dato'. Kepala saya sudah mulai menjadi besar dan banyak benda saya nampak kabur. Itu mungkin kekurangan tidur.
Kami kemudiannya pergi ke North Terminal (Foreign Airport) untuk mengambil barang Dato' dan menghantar Pak Abu menaiki limosin ke Madinah. Jam 9 malam, saya pulang ke Makkah dan sampai jam 10.30 malam. Orang dah habis terawih. Balik ke hotel, menghadap isu hotel pulak yang tak abis-abis dengan bilik tak cukup, silap booking. Macam-macam hal. Saya senyum..
...
2 jam sebelum.
Saya memandu GMC hitam berplat 7070. Side mirrornya ada lampu signal warna merah. Bumbung boleh bukak kalo nak merasa matahari terus atas kepala. Saya berjanji dengan Pak Abu untuk mengambilnya di Safwah Royale Orchid kerana dia sebenarnya ada urusan ke sana sebelum bertolak ke airport. Di dalam perjalanan ke Jeddah Pak Abu mulai bukak ceramah.
"Dalam berniaga pi, kita mesti nak untung. Untuk jual sesuatu perkara, kita kena tahu berapa margin profit yang kita dapat. Untung, rugi, itu semua kita kena fikir dan plan sebelum nak buat apa-apa tindakan dalam jualan. Kalau orang minta diskaun, kita sepatutnya kena naikkan dulu harga sebelum kita diskaun barang tersebut. Ini orang panggil 'rugi pada untung'. Kalau harga barang kita tak naikkan, orang mintak diskaun, itu orang panggil 'rugi pada pangkal'. Nko kena tahu semua ni pi. Rugi pada untung tak ada apa-apa kesan. Tapi kalau rugi pada pangkal, bungkuslah kau punya bisnes."
Saya hanya mengangguk sahaja. Apa benda dia berleter, saya pun tak berapa paham sangat.
"lagi satu, aku ajar nko semua perkara ni sebab aku nampak nko akan jadi pelapis kepada kitorang. Aku ni, ikut atas kertas, berapa hari jer lagi nak hidup? esok lusa mungkin mati."
"eh, jangan mati lagi pakcik. Gaji saya tak dapat lagi. Saya doa pakcik panjang umo." Saya mencelah dengan cepat.
Pak Abu ketawa.
"Jangan bimbang. Pasal duit, ko jangan risau. Ni semua ilmu-ilmu aku bagi ni takde belajar dalam silibes sekolah. Universiti nko pun tak belajar benda nih. Aku turunkan ilmu sikit demi sikit pada nko sebab aku tahu, kami takkan ada lagi pelapis yang berminat mengenai perkara ini. Aku nak turunkan pada anak aku pun, dia bukan ada kat sini. Dia tak tahu selok-belok perniagaan kat Mekah ni. Nko lain, ko dah ada kat sini, boleh komunikasi dan nko kenal orang-orang yang aku tunjukkan pada nko. Itu sebab aku kasi nko cakap dengan diorang. Biar diorang pun kenal. Bina network pi. Jangan duduk dalam kelompok sahaja. Ini masanya. Peluang untuk ko bina masa depan." Terang Pak Abu panjang lebar lagi.
Kata-kata itu terngiang-ngiang dalam telinga. Itu sebab saya fikir, dia suruh saya cakap dengan beberapa arab yang sebelum saya ada ni pun, sebenarnya Pak Abu boleh cakap. Tapi kenapa dia tetap jugak suruh saya. Mula-mula saya fikir, dia ni macam jenis bos. Suruh s/u cakap dan aturkan segala perkara. Letih ah. Tapi bila tiba semalam, saya baru faham mengapa dia menyuruh saya melakukan pelbagai perkara yang bagi saya memang takkan saya dapati kalau saya bersedap-sedap cuti di Malaysia dan menghabiskan masa bersama orang tersayang. Alhamdulillah, saya sabar dan tak pukul orang tua.
Itu sebab, tajuk di atas adalah merdekakan diri. Bebaskan diri anda dari pelbagai persangkaan yang buruk. Untuk mendapat sesuatu yang baik, memang mahal harganya. Anda beruntung kerana dapat membaca pengalaman saya dan tidak mengalaminya sendiri. Letih dan hampir-hampir putus asa. Selamat menyambut bulan kemerdekaan yang 53. Walaupun saya jauh di perantauan, saya tak lupakan negara kita Malaysia. Saya sayang Malaysia dan saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Tolong jangan kecewakan kebanggaan saya itu.