... saya membaca catatan emak saya. Rajin emak saya menulis. Bila dia menulis, anak dia akan curi-curi membaca dan akhirnya emak menyedari yang saya membaca catatan emak dan emak sangat-sangat bersyukur kerana catatannya tidak sia-sia. Pelbagai penat lelah dan pengalaman emak dalam membesarkan saya dicatat dalam buku notanya. Saya sangat terhibur dan sangat menghargai segala pengalaman emak yang tercatat dalam buku notanya itu. Saya dapat membayangkan keadaan dan kesusahan yang dialami oleh keluarga kami ketika itu. Di mana ntah kini buku tersebut, saya pun sudah lupa. Rasanya masih lagi ada di rumah. Tak gitu emak?
Antara catatan yang saya ingat dan takkan lupa ialah lebih kurang begini maksudnya : "orang lain adalah mereka yang membantu kita dengan mengharapkan sesuatu ganjaran dari kita akan tetapi keluarga kita mereka yang membantu dengan tanpa mengharapkan sesuatu apa pun ganjaran kecuali keikhlasan."
Itu antara kalam emak yang dicatat pada satu lembaran kertas usang. Dewasa kini, saya cuba meneliti dan memahami akan logiknya perkara itu. Benar, namun bukan semua. Ia bermakna, memang keluarga akan tetap menerima kita walau bagaimanapun diri kita. Namun, ada juga segelintir orang lain yang juga sanggup menerima kita dan membantu kita di kala kita kesusahan dan hampir karam di lautan cabaran. Untuk menemui mereka itu, bagi saya bukan senang. Banyak yang ingin mengambil kesempatan dari bertindak membantu.
Apapun, semakin saya dewasa, semakin kata-kata emak saya fahami dan terima untuk diadaptasi dalam kehidupan saya. Lebih-lebih lagi, saya mempunyai 2 orang cahayamata yang sangat-sangat mencabar jiwa lelaki dan ayah ini. Bagaimanapun, itu adalah anugerah Allah dan bila saya keletihan dalam menangani isu masalah rumahtangga, saya akan berfikir, oh! Beginilah mungkin ibu dan ayah saya suatu waktu dahulu?? Bergadai maruah dan bergadai nyawa semata-mata ingin membesarkan 4 orang anaknya yang kecil dan tidak tahu apa langsung mengenai kehidupan.
Walaupun saya sudah dewasa dan berkeluarga, namun saya masih lagi tidak terlepas dari tanggungjawab ibubapa saya. Mereka akan memantau dan memerhatikan gerak-geri serta perkara yang saya lakukan tiap-tiap hari dalam kehidupan saya. Untung ada fesbuk, belog dan isteri yang rajin mereport. Ia ibarat mata-mata (ain jasus) atau cctv tertutup yang memberitakan segala berita kepada keluarga saya tentang pengkhabaran saya dari jauh. Alhamdulillah, ini semua nikmat dalam memanfaatkan teknologi fikir saya.
Kini, ayah dan emak serta saya berfikir akan 3 lagi tanggungan kami yang masih berada di bawah. Adik Lina, adik Athirah dan adik Ariff. Mereka masih lagi belajar dan Lina bekerja sambil belajar. 3 makhluk ciptaan Allah yang unik ini bukan mudah untuk ditangani. Masing-masing mempunyai ideologi sendiri dan pandangan serta persepsi sendiri. Saya hanya mampu berdoa dan memberi sumbangan kecil jika dibandingkan dengan sumbangan mereka sendiri terhadap keluarga kerana saya jauh diperantauan. Entri ini, saya khususkan untuk mereka (adik-adik saya) yang semangat bersatu-padu membela dan merawat ayah yang kini sakit akibat terkena angin ahmar. Alhamdulillah, dalam kesulitan, kesyukuran itu masih dipanjatkan lagi kepada Ilahi kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. (cakap ustaz-ustaz). Kami diajar berdikari dan bersatu padu dalam membina kredibiliti diri serta sifat insaniah.
Harapan saya sebelum mengundur diri sebab nak pergi makan adalah agar keluarga kami dan keluarga anda yang membaca entri ini dapat bersatu padu serta bertolong-menolong antara satu sama lain. Ingatlah, dengan mengalah, anda akan mendapat lebih dari apa yang dijangkakan.
Abraham Lincoln pernah berkata kepada saya dalam satu surat wasiatnya yang baru-baru ini ditemui di white house :
"setitik manisan lebih banyak memerangkap lebah dari segelen hempedu"
terima kasih abraham lincoln atas nasihat dan kata-kata yang berguna itu. Apa guna bergaduh semata-mata ingin memuaskan hati sendiri dan membiarkan orang lain merana?
Ketika dalam perjalanan pulang dari Jeddah menuju ke Makkah, bapak mertua saya yang jarang-jarang bersembang dengan saya berkata :
"Pi, jadilah seperti pokok yang berbuah, apabila dilempar kayu, dia akan menghasilkan buah dan jangan jadi seperti ular tedung yang menghamburkan bisanya kepada mangsa lalu meninggalkan kesakitan dan kesengsaraan tanpa mengambil tahu apa akibatnya."
Kata-kata itu, walaupun nampak biasa tapi memberikan makna mendalam kepada jiwa saya lantaran mereka bertutur melalui pengalaman dan pengalaman tak boleh dibeli dengan duit ringgit mahupun US dollar.
Fikir-fikirkan wahai sahabat sekalian dan selamat menjamu selera!