Saya berasal dari Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.
Saya mula berkenalan dengan tepung roti canai ketika pada tahun 1987. Masa itu, saya masih lagi seorang pekerja part time bersama-sama pakcik saya. Kerja saya cuci pinggan, ambik order dan uli tepung yang digunakan untuk membuat roti canai. Pakcik saya sangat tegas orangnya. Jika saya nak makan, saya terpaksa menebar sendiri roti canai dan goreng sendiri.
2 bulan pertama, saya makan roti canai keras hasil tangan saya sendiri. Masuk bulan ketiga, saya sudah mampu menguasai seni menebar roti canai dan semakin lembut rotinya. Masa itu, saya hanya hujung-hujung minggu membantu pakcik saya dan diberikan upah sebanyak RM3 sehari. Alhamdulillah, duit itu dapat saya gunakan sepanjang minggu persekolahan saya.
![]() |
| Ditemuramah oleh Presenter PM Crew, Hidayat Ismail. |
Apabila tiba hari persekolahan, saya kerap mengantuk di dalam kelas menyebabkan cikgu tertanya-tanya mengapa saya bersikap begitu, lalu bocorlah rahsia yang saya adalah seorang penebar roti canai sehingga satu sekolah mengenali saya.
Saya tetap bekerja bersama pakcik saya untuk satu tempoh yang agak panjang. Lama-kelamaan, saya berjaya mengatasi pakcik saya dan roti canai buatan saya lebih digemari ramai.
Pada awal 90an, saya berhijrah ke Kuantan untuk mencari satu kelainan. Saya bekerja di satu kedai makan di Jalan Gambang, Batu 8, Kuantan. Selama 2 tahun saya bekerja sebagai penebar roti canai sahaja dan saya semakin dikenali serta roti canai saya mendapat sambutan. Alhamdulillah.
Tahun 1992, saya pulang kembali ke Kelantan setelah berjaya mengumpul modal untuk mengusahakan kedai makan sendiri di Kampung Kota, Wakaf Che Yeh. Setelah berkecimpung selama 3 tahun iaitu dari tahun 1992 sehingga 1995, saya ingin mencari kelainan dalam kehidupan, lalu saya berhenti berniaga dan langsung menjual restoran saya. Saya bertukar bidang menjadi tenaga pengajar Fardhu Ain sebab saya mempunyai sijil KAFA yang diiktiraf. Saya mengajar kanak-kanak dari darjah 1 sehingga darjah 6. Alhamdulillah, satu kepuasan bagi saya apabila melihat kanak-kanak dapat mendalami ilmu Islam hasil pendedahan yang saya buat kepada mereka. Setelah 3 tahun saya mengajar, saya mula terfikirkan seni roti canai saya yang lama ditinggalkan.
![]() |
| Lokasi : Food Court, Felda D'saji Makkah. |
Pada awal 1998, saya kembali berhijrah ke Kuala Lumpur dalam ertikata ingin meningkatkan kembali martabat roti canai saya. Saya bekerja di merata-rata restoran yang memerlukan khidmat roti canai saya sehingga ke Shah Alam dan juga ke Selatan Johor iaitu di Restoran Singgah Selalu pada tahun 2000.
Dalam pada waktu bekerja di Semenanjung, saya pernah mendapat satu tawaran daripada Kanada untuk berkhidmat sebagai seorang penebar roti canai. Namun, memikirkan saya lebih menyayangi negara saya, saya menolak ke tepi tawaran tersebut.
Pada tahun 2006, saya mula menyertai Felda D'saji dan pada tahun 2008, setelah pembukaan pertama Felda Dsaji di Makkah, saya dan anggota pertama Felda telah menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengembangkan dan meluaskan pengaruh roti canai saya di samping beribadat dan berkhidmat kepada jemaah samada umrah mahupun haji.
![]() |
| Ab Talib menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang penebar roti canai dari Kelantan ke pinggir Kaabah. |
Saya kini telah dianugerahkan rezeki oleh Allah untuk berada di Kota Makkah dan saya sudah menjadi Senior F&B di Felda D'saji Makkah. Jika kelapangan datang ke Makkah, singgahlah ke Restoran kami di Felda D'saji, tingkat 2, Bangunan Safwah Royale Orchid, Makkah.
Terima kasih di atas kesudian PMCrew For Video & Photography kerana menemuramah saya.
- Ab Talib,
Senior F&B
Felda D'saji Makkah.
...
saya pun malas nak cerita panjang, masa suntuk sangat. so, selamat beribadah semua dan salam sayang dari saya, Lutfi Lokman.
Follow @USERNAME











