pengikut-pengikut yang menawan

Sunday, January 22, 2012

hantu limau dan contoh kepada anak



LOP_1133
pemandangan daripada balkoni apartment saya. Cantik juga pemandangan sambil pekena kopi panas cicah ubi rebus. eh, ubi rebus cicah kopi panas.

LOP_1138
subhanallah. Nikon D300s + Tamron 24-70mm f2.8

Hantu limau datang lagi. Smalam saya dikejutkan oleh Waseem dengan jeritan segar dia tepat jam 3.20 pagi ketika kerlipan mata saya sempat mengelip menonton waktu yang tertera di jam dinding. "baba!! Burtuqal jatuhh!!" Appaa daa! Lemon kecil jatuh dalam lubang sinki pun mau bising! - Saya sedar yang waseem masih lagi seorang budak bakal berumur 5 tahun pada tahun ini. Patut masuk sekolah dah tuh. Tapi 'dop tengoh tepi' (Bahasa Terengganu 101 yang bermaksud serba salah). Sebab nak masuk sekolah, takut tiba-tiba kena balik Malaysia. Tak masuk sekolah, kesian jugak pada dia sebab nakkan jugaklah pendidikan pada anak-anak neh. Jadinya serba salah dan kami biarkan dahulu sehingga surat tapisan, penapisan, saringan, jaringan, skor bola dan macam-macam lagi daripada Malaysia tiba, barulah kami boleh buat keputusan.

Saya sebenarnya sangat letih dengan situasi serba salah nih. Banyak kali dah saya kena macam nih apabila ingin melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan. Tapi dengan bersabar, saya mendapat lebih daripada apa yang dijangkakan. Cumanya tahap kesabaran saya sangat berbeza-beza. Kadang-kadang ada tinggi. Kadang-kadang banyak yang rendah. Apapun, saya tiada pilihan melainkan bersabar dan tak boleh buat keputusan mahupun perancangan. Tiba jawapan, balik. Tak tiba jawapan tunggu sehingga tiba masanya. Ah!! Serba salah!!!

Itu cerita saya dan apa yang dalam kepala. Di samping banyak perkara lagi tak selesai. Nak kena tukar nama kereta, nak kena setel proses untuk balik lagi, tanggungjawab dengan kerja, komitmen dengan keluarga, kawan-kawan memang saya sepak ke tepi dah. Nak belasah nawi main PES 2012 pun tak sempat gara-gara banyak sangat kerja. Tapi.. dalam kesibukan, memori indah yang sangat meruntunkan hati apabila kami ke MasjidilHaram tempohari. Suatu perasaan tenang yang tak dapat digambarkan dengan perasaan.. Sangat tenang menonton kaabah dan suasana dalam masjidilharam walaupun kini dipenuhi dengan jemaah dalam negeri yang bercuti.

Saya dapat merasakan itu adalah salah satu tarikan buat kami bertahan lagi di sini. Suatu nikmat dan anugerah yang Allah kurniakan kepada kami. Jarak Jeddah dan Makkah bukannya jauh sangat pun. Ibarat daripada Kuala Terengganu ke Dungun tempat asal Zizan sahaja. 70-80 km. Tak jauh kan? Harap sangat keretapi depa buat ni cepat siap. Bolehlah kita berkelana dengan keretapi plak. Ke Madinah, Jeddah dan Makkah hanya menaiki keretapi! Insya allah suatu hari nanti!

Bagi yang bertanyakan soalan kepada saya, ada kerajinan saya jawab, kadang-kadang saya terlupa. Banyak yang saya janji untuk menulis kembali, tapi saya lupa. Ada yang minta gambar daripada saya sampai sekarang saya tak tunaikan lagi. Paling penting, penyempurnaan buku "A Glimpse of Makkah" saya yang masih lagi belum selesai. Ya Allah! Apakebenda yang sangat saya sibuk ni sampai tak sempat semua perkara. Harap-harap si Roshidee dan Azhar the Designer tak marah yer. :) Saya bercadang nak pulang ke Malaysia secepat mungkin kerana banyak perkara yang ingin saya selesaikan di Malaysia bersama projek2 terbaru yang bakal menyusul membabitkan pihak atasan. Insya Allah. Kita hanya merancang, Allah menentukan segala-galanya. (ayat biasa drama).

So, untuk kesekian kalinya, saya ingin meluahkan hati saya sangat membuak-buak untuk mengambil gambar tapi masa tidak mengizinkan. Hari cuti, hanya dipenuhi dengan kemas rumah dan keluar membeli barangan. Serta tak lupa rehat yang secukupnya! Kini saya mengerti mengapa ayah dan emak saya sangat menghargai hari cuti. Lagi pula, ayah saya tunjukkan contoh yang baik ketika hari cuti dengan membersihkan halaman atau membasuh baju. Masih lagi saya ingat, ayah akan mengilas kain pelekatnya dan membasuh baju serta pakaian. Itu satu contoh yang baik ditunjukkan kepada anak-anaknya yang memerhati. Oleh yang demikian, saya pun berbuat seperti itu agar anak saya akan mengingati suatu hari nanti ayah dia juga rajin. Tapi saya tak membasuh baju, saya hanya mengemas di tempat yang sama iaitu di kawasan bilik pejabat mini saya. Hahaha! Alih-alih itu juga yang saya buat. Sebab saya sangat tak suka membasuh baju. Setakat basuh pinggan tu boleh  lagi. Apapun, saya perlu tunjukkan contoh terbaik buat anak-anak yang kini membesar dan kadang-kadang memerhati sahaja tingkah laku ayahnya ini. Ah! Bila boleh outing neh!!! 

- menarik ke jenis cerita macam ni kat belog? ah. tak politik semasa langsung!

Saturday, January 21, 2012

saya, dahulu, kini dan sampai mati.



once upon a time, during my own wedding in Makkah!
saya 6 tahun yang lepas. klakar pulak tengok gambar sendiri. kah kah kah kah! time nih, sedang buat majlis kawin di shishah, makkah. baru bergelar laki orang. 

me nowdays
ni gambar saya 2,3 hari lepas. tak banyak berubah cuma kembang sikit jer. ni mungkin hasil lens yang berbeza. Konsulat Jeneral Malaysia, Jeddah.

LOP_1004
thai-thai rest, jeddah.

thai thai Restaurant, Heraa St. Jeddah.
tapi saya kecik hati sebab yang kerja orang pilipin. tak best. ingatkan orang thai.

LOP_0993
design restoreng agak cantik, makanan pun sedap lah jugak. terutama ikan kerapu gorengnya..


6 tahun bukanlah tempoh masa yang pendek. pejam celik, pejam celik, dah 6 tahun saya berkahwin dengan buah hati saya si Najwa. Pelbagai ranjau dan duri telah saya rasakan. cemuhan, makian, kejian, pujian, sanjungan, perlian, berlian, emas, dinar, dan lain-lain lagi telah kami kecapi. Namun, itu semua hanyalah perencah yang menjadi penyedap sebuah kehidupan berumahtangga. 

Alhamdulillah, Allah telah meminjamkan kami 3 cahaya mata yang chomel dan bulat macam bapak dia. Masih lagi tidak merancang untuk menambah yang keempat. Cukuplah dulu. 

saya telahpun tamat pengajian di dalam bidang syariah di universiti umm al qura, makkah di peringkat diploma tinggi. diploma je tinggi. ilmu saya tak tinggi-tinggi mana pun. Kini saya telah bekerja dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dalam bidang penterjemahan. Dalam masa yang sama, saya sedang buat proses untuk pulang ke Malaysia bagi membolehkan saya mendapat iqamah kerja di sini. Insya allah. Pelan-pelan kayuh.

Saya sekarang sudah kekeringan idea untuk berbelog. Perangai lama telah datang. Saya tak dapat tumpu seratus peratus tentang apa yang ingin saya  bicarakan. Suatu kelemahan sebenarnya. Oleh itu, saya merasakan lebih baik saya berhenti sebelum saya penat berbicara. Sekian. 

Saya bakal merindukan pembaca2 semua. bye!

Monday, January 16, 2012

negatif dan positif

LOP_0974
Naseem di Chapter Restaurant, Arabian Mall, Jeddah. Restoran Melayu pertama yang dibuka di Jeddah.  Diharapkan bosnya dapat menurunkan harga makanan yang sedap-sedap itu agar kami dapat menikmati hidangan anda setiap hari~ Nikon D300s + Nikkor 85mm f1.4

Sudah lama saya ingin menaip entri ini. Entri bertajuk ini. Akan tetapi masa tak mengizinkan. Banyak juga idea sebahagiannya telah hilang dan pergi bersama-sama waktu. Idea yang sangat baik untuk dikongsi bersama saya kira telah hilang ditelan zaman. Ia akibat saya mempunyai sikap buruk malas mencatit. Saya suka bertangguh. Sungguh dan tak tipu.

Walaubagaimanapun, saya akan cuba untuk mengingati kembali apa yang ingin saya sampaikan. Ia bertajuk berfikir positif. Idea untuk menulis di dalam belog biasanya datang ketika waktu saya dalam perjalanan ke pejabat di waktu pagi. Ketika turun dari rumah, menghidupkan kereta dan memandu kereta menuju ke pejabat. Banyak idea-idea spontan mengenai kehidupan yang ingin saya lakarkan dan tulis di dalam belog ini buat panduan dan ingatan saya di kemudian hari. Juga buat anda yang tak ada masalah membaca tulisan saya di belog ini.  

Dalam kehidupan kita, tak lari daripada 2 perkara cara kita  berfikir. Ia samada positif ataupun negatif. Tapi jenis yang pikir tengah-tengah tu, susah jugak nak ulas apa jenis pikiran. Positif pun tidak, negatif pun tidak. Pengundi atas pagarlah tuh. Oke, berbalik kepada pemikiran kita. Kebanyakan kita pada hari ini, kita amat kerap berfikir secara NEGATIF. Kebanyakan perkara kita akan berfikir secara buruk dan padah. Ia pada pendapat saya akan meruntunkan semangat motivasi jiwa kita. Ia akan menjatuhkan moral kita. Ia akan membuatkan kita tidak bermaya dan lesu setiap hari akibat daripada pemikiran yang sentiasa negatif itu tadi. Sebagai contoh, err. cuba anda berikan saya contoh perkara-perkara negatif yang selalu sangat kita pikirkan. Nanti saya sambung penceritaan saya. 

Thursday, January 12, 2012

anak tupai

Ado sekor anok tupai atah julai mokte
Kudung ekor perut lapar jalan cari makan
Kejadian tuhan dipanggil nama tupai
Asalnya dale hutan sejenis mamalia
Kalu pasal jakit kok dehe dialah yg paling pandai
Jatuh jare jare kerana dia tak sobar

Pandai pandai tupai melompat jatuh tanah jugok
Tak wi gambar ore jahat jale telajok mangok
Ore jame ritu pakat hambat tupai
Bimbe ko woh kayu takuk tokdan besar
Nyor derian duku kalu dan nye kerit tupai
Pendek tahun tu nyor derian takdan nak jual
Ore sekepung tupai sekor berambat hari hari
Nya pakat likung nya pakat pekong tupai takleh lagi
Sakat bedil ado tupai habih mati
Hok ni lah saya raso kita sangat rugi
Kita manusio tinggi mana pun kita ngaji
Nak wat tupai sekor tentu sekali nya tak jadi
Loni kapung atau bandar jare buleh tgk
Bapok tupai ibu tupai jale bawak anok
Rasa kesian sungguh tgk sekor ke anok tupai
Kerana telajok kuruh sapa tokleh nak niti pagar
Bulu bulu pun habih luruh air mato bederai derai
Mari dale baruh bekali kena racun tebaka
Ado sekor anok tupai atah julai mokte
Kudung ekor perut lapar jalan cari makan
 - Halim Yazid, ''Anak Tupai".

Bagi mereka yang tak pernah mendengar dikir barat, tentu merasa kelakar mendengarnya kan? Sangat kekelantanan. Namun, saya sudah berkecimpung dari sejak saya sekolah lagi. Rakan baik saya, Allahyarham Azuan sangat suka mendengarnya. Maklumlah dia berasal daripada Besut, Terengganu. Rata-rata orang Kelantan dan Besut malahan Setiu gemarkan dikir barat. Pendapat saya lah. Saya pun suka. Tapi tak semua dikir barat saya suka. Hanya sebahagian sahaja. Mendengar lagu Halim Yazid ini, mengimbas memori indah saya bersama-sama Allahyarham Azuan. Kadang-kadang saya menangis sendirian mengenangkan beliau. Semoga Allah ampuni beliau dan kita semua. Banyak perkara yang saya belajar daripada dikir barat ini. Ada jenis dikir barat yang merapu pun banyak. Tapi yang paling mengagumkan saya, jika jenis dikir barat yang nyanyi sambil berbalas dengan pihak lawan. Wah! Kagum betul. Cepat betul otak mereka berfikir! :)

once upon a time
Suatu masa dahulu di Jabal Nur, Makkah. Saya bermain dengan masa. Masa sangat mencukupi sehingga kadang-kadang tak tahu apa nak buat. Namun, kewangan kami terbatas. Kini, kewangan alhamdulillah, namun masa agak terbatas. Begitulah konsep timbangan dunia hidup saya. - Nikon D60 + Nikkor 18-55mm.

ladang kurma, madinah
Ladang kurma, Madinah - ketika bersama rombongan Menteri Luar Negeri, Dato' Seri Anifah Aman. Nikon D300s + Tamron 24-70mm f2.8.

Ironinya, saya gembira dengan apa yang saya kecapi hari ini. (sekali lagi, adakah penggunaan kalimah ironi ini tepat?) 

Hari ini, banyak peluang tercipta di hadapan saya, cuma antara mahu atau tidak mahu sahaja. Rezeki yang dilimpahkan sangat banyak dan tercipta dengan begitu unik sekali. Subhanallah. Siapalah saya yang selayaknya untuk menerima perkara sebegini..

Petang rabu, sebelum pulang dari pejabat, rakan sejawat merangkap senior saya En. Azzai, memuji saya mengatakan yang saya banyak sudah berubah. Sudah tak seperti dulu. Pencapaian pun hebat. Saya hanya berdiam dan tersenyum. Alhamdulillah saya mengembalikan pujian kepada Allah. Saya suarakan yang kegusaran saya jika cepat naik, biasanya cepat jatuh. Ujar saya jujur. Berkongsi perasaan bersama Azzai yang saya anggap banyak mengajar saya perihal pekerjaan. Azzai tersenyum dan membalas, takdak hal katanya, yang penting, kita ingat tempat bawah. Naiklah setinggi mana pun, asal kita tak lupa daratan dan tak lupa diri, insya allah berjaya. Satu kata-kata ringkas, tapi penuh makna. Tapi, pesannya lagi, jika naik tinggi langit, tapi lupa tempat jatuh, itu memang sakit. Lu kena hati-hati. Pesan Azzai sebelum memasukkan tangan dalam poket dan berlalu pergi naik atas. Wah! Pikir saya sendirian. Betul tuh.  

Kadang-kadang kita terlalu cepat naik. Naik, dan naik tanpa disedari, terpijak rakan-rakan. Terlupa rakan-rakan. Rakan-rakan yang dulu sama-sama susah, dan sama-sama berusaha bersama kita. Juga kadang-kadang kita lupa orang sekeliling dan orang lain. Kita hanya seronok mengenangkan pencapaian kita dan alpa dengan apa yang dikecapi. Itulah yang bakal meruntuhkan dan menjatuhkan kita kembali ke bawah. Nauzubillah. Saya sangat takut perkara itu berlaku. Alam pekerjaan sangat-sangat tidak sama dengan alam pelajaran. Kita mempunyai satu ikatan yang dinamakan komitmen.  Ujian dari Allah juga jarang kita ingat. Banyak rezeki, banyak juga dugaannya. Apa yang penting, kita tak lupa diri. Ah! Susah betul mendidik hati ini! Harapan saya, agar saya tetap menjadi seperti dahulu. Lutfi yang saya kenali sendiri, yang emak dan ayah saya kenali serta anda kenali. Saya berusaha untuk mengekal diri saya. Anda berhak menegur saya jika saya tersasar!

Baru-baru ini, dalam komen fesbuk saya, bekas ustaz saya merangkap guru kehidupan saya, ustaz Halias Abu Bakar, seorang pakar khat Negeri Terenggau menyatakan peringatan kepada saya agar berhati-hati ketika berada di 'pintu istana' agar saya tidak terjebak dan leka dengan keindahan 'istana'. Satu kata-kata yang mendalam dan memberi bekas kepada hati saya. Setinggi manapun kita, sehebat manapun kita, tupai seekor pun kita tak boleh buat katanya Halim Yazid dalam lirik lagu 'anak tupai'. 

Kita manusio tinggi mana pun kita ngaji
Nak wat tupai sekor tentu sekali nya tak jadi..

Benar dan tepat sekali. Jadi, untuk apa kita sombong? tunduk ke bawah adalah lebih baik.

- Maaf, artikel ini dikarang dari pagi tadi sehingga tengah malam kerana terdapat pelbagai gangguan dan tekanan emosi. kah kah kah!

Tuesday, January 3, 2012

dinasour 2012!



apple store
Apple Store, Madinah Road, Jeddah.

makkah here i come! #makkah #mecca
Makkah's gate, Makkah.

clock tower
View from Royal Waleed, Ghazzah, Makkah.

the gate
sunset 

Alhamdulillah, kita berada di dalam tahun baru 2012. Macam-macam spekulasi melanda ketika kedatangan tahun 2012. Tahun 2012 atau tahun masihi telah diterima pakai satu dunia sebagai kalendar rasmi dunia bersama-sama dengan kalendar Islam Hijri. Tak ada negara yang buat kalendar sendiri dan mengatakan negara dia berada pada tahun 2045 selain kalendar Islam yang berada pada tahun 1433H.

Jika anda berada di Saudi, anda layak untuk mengagung-agungkan kalendar Hijri kerana semua urusan di sini menggunakan kalendar 1433. Jika anda di Malaysia, toksah cakap banyak, memang pakai kalendar Masihi untuk segala urusan. Kadang-kadang, orang yang sembang banyak, dia lupa berpijak pada bumi yang nyata. 

...

Ini merupakan entri pertama saya pada tahun 2012. 

Pada minggu lepas, saya dan anak beranak serta isteri berkunjung ke Andalus Mall di Jeddah. Kami merancang untuk membeli barangan rumah yang telah kehabisan stok. Sesampai di sana, kami mendapati expo dinosaur masih lagi dibuka kepada orang ramai. Terus kami tanpa berlengah dan membuang masa memasuki expo tersebut memandangkan Waseem amat menggemari dinosaur. Sebenarnya pameran tersebut adalah hasil gabungan dinasour dan sains. Sangat menarik dan saya yang lari dulu bila dinasour mengaum kuat. Besar jugak tulang rahang dinasour nih. Mungkin dia tak dapat mengecapi nikmat breakfast bersama telur masak separuh tiap-tiap pagi. Sapa suruh hang jadi dinasour.

Antara perkara menarik yang saya dapati daripada pameran sains tersebut adalah satu balang yang berisi dengan air dan dibawahnya ada alat putaran. Alah, betul-betul macam blender mak-mak kita. Tertulis di situ, sila pusingkan saya. Saya pun pegi pusinglah alat putaran tersebut. Saya memerhatikan air yang di dalam balang gergasi tersebut dengan perlahan-lahan tiba-tiba bertukar menjadi satu putaran yang maha hebat. Wow! Ini rupanya yang dimaksudkan dengan vortex. Satu gelombang atau putaran yang dihasilkan dari bawah oleh sesuatu pergerakan secara kuat dan laju. Saya sangat kagum pada perkara itu.  Saya sematkan dalam hati satu pelajaran yang baru!

Pertama, otak saya selalu berfikir lain daripada yang lain. Kedua, saya mendapati pengajaran seperti praktikal itu sangat memberikan kesan kepada pemahaman yang mana saya sukar untuk mendapatinya di sekolah-sekolah dahulu. Lebih-lebih lagi ketika kelas sains. Kadang-kadang ponteng pun best juga daripada pergi kelas sains. Ketiga, ada perkara besar yang berbekas dalam hati saya apabila melihat kepada perkara sains itu. 

Kami pulang ke rumah selepas berhorey-horey dengan maklumat dan bergambar dengan dinasour yang maha besar itu. Macam manalah dia nak diet kalo perut besar sangat. Paling best, kami tak membeli pun barangan rumah yang diidam-idamkan itu. Bajet telah lari ke tepi menonton dinasour yang ada perut besar dan suka takutkan orang serta menonton pameran sains. Terpaksalah pergi lain hari untuk membeli barang keperluan rumah pula.

...

Saya selalu solat. Anda selalu solat? orang baik-baik akan jawab, selalu lah. Solat itu kan wajib. 5 waktu kena tunaikan. Orang yang kurang baik-baik akan jawab, saya berazam untuk menunaikan 5 waktu setiap hari. Tapi, kadang-kadang ada juga terlepas. Tapi saya tak ingkar mengenai kewajipan menunaikan solat. Orang yang tak berapa baik akan jawab, ada masa saya solat lerr. Apa nak kesah sangat. Orang yang jahat akan jawab. Buat apa aku solat, Allah tak dengar pun rintihan aku. Ada selama ni aku solat, rezeki aku datang banyak? .. 

Saya terus-terang termasuk dalam golongan kedua. Ada harinya juga terlepas dek tidor keletihan atau terlupa dan sebagainya. Cuma saja-saja tinggal, saya tak berani. Itu adalah urusan kita dengan Allah. Orang selalu kata, kalau solat pun tak jaga, apatah lagi perkara lain. Saya memerhatikan kata-kata itu ada kebenarannya. 

Banyak orang yang berjaya, saya kira dia mempunyai satu amalan menjaga solat yang kita tak tahu. Berjaya tak semestinya dia mesti jutawan. Berjaya tak semestinya dia ada rumah besar. Tapi dia berjaya dalam kehidupannya. Samada mendapat ilmu yang banyak, seorang yang tenang, seorang yang bahagia dan sebagainya lagi. Itu saya katakan seorang yang berjaya. Saya perhatikan ramai rakan-rakan saya pun begitu. Bagi mereka yang menjaga solatnya, mereka sangat berjaya. Ustaz ke, tak ustaz ke, syeikh ke tak syeikh ke, allamah apakebenda alfadil apekebenda, kalau solat tak jaga, toksah duk sembang banyak. Saya bukan nak cerita orang yang selalu turun ke masjid solat 5 waktu. Bukan. Saya nak ceritakan mengenai penjagaan solat yang mendatangkan kejayaan kepada kita. Bagi yang selalu ke masjid solat 5 waktu, itu lagilah saya salute. Saya tak macam tuh. Pemalas.

Bagaimana mendapat jiwa solat yang mantap dan disiplin? mantap dan disiplin timbul apabila kita merasakan kemanisan solat. Kalau tak manis, nak solat buat apa? sekadar nak tunjuk depan orang? Apabila kita rasa betapa bestnya solat, kita akan selalu menjaga waktunya. 5 waktu yang Allah tetapkan pada kita akan sentiasa kita alert. Ini cara saya bercakap bukan dengan uslub ustaz-ustaz. Sebab saya tak suka penyampaian yang sangat berat dan skema. Bagaimana nak mendapatkan kemanisan itu? iaitu dengan percaya bahawa setiap kali kita melakukan solat 'yang betul', Allah akan menggandakan kebaikan kepada kita. Cuba, cuba kita renungkan.. Setiap kali kita menjaga solat dengan betul, adakah apa-apa perubahan yang Allah campakkan kepada kita? kepada keluarga kita? kepada kehidupan kita? atau adakah masih sama macam dulu? 

Syeikh Bukhari, guru Tauhid saya ketika kami belajar di matrik bahasa arab di Umm Al Qura University, sikit masa dahulu, pernah memegang subjek tafsir dalam mengajar kami. Apa yang ditekankan dalam pengajaran tafsir tersebut adalah pemahaman makna ayat-ayat lazim daripada juzuk amma. Nak kira, kita ni duk di Saudi. Di Kota Makkah. Kurang-kurang ajarlah tafsir surah yusuf ka, surah Hud ka, surah anNisa' ka. Baru nampak silibes panjang sikit. Tapi beliau tak. Beliau menekankan pemahaman surah-surah pendek seperti Al-Ikhlas, Al-Nas dan beberapa lagi surah-surah pendek. Apa yang ditekankan adalah paham sejibik-sejibik ayat yang diturunkan kepada kita. Beliau mengutarakan tentang konsep kepahaman mengenai makna yang Allah turunkan dalam surah-surah tersebut termasuk surah Al Fatihah. Sebab apa? sebab surah itu yang banyak kita baca dalam solat harian kita. Ujar beliau. Beliau juga memohon para pelajar selepas daripada belajar subjek tafsir, amalkan bacaan yang telah dipelajari dari surah-surah lazim tersebut dalam solat dan jangan baca kecuali kamu memahami makna bacaan yang terkandung di dalam surah-surah tersebut. Sangat berkesan kepada kami!

Saya memerhatikan diri saya ketika solat, sangat tak berapa menitik beratkan perihal-perihal yang kecil dan nampak tak besar. Cara angkat takbir, cara tahiyyat, cara berdiri meletakkan tangan. Nampak simple, tapi adakah kita yakin, apa yang kita perbuat hari ni adalah datangnya dari Rasul S.A.W? yakinkah anda? Ini bukan soal wahabi ke syiah ke pas ke apa, tapi mengenai cara solat kita yang sepatutnya mengikut Rasul S.A.W untuk melayakkan kita mendapat penilaian dari Allah. Saya bukan ustaz,  maka, bagi anda di luar sana, bergurulah mengenai cara solat yang betul dari sebenar-benar guru anda yang mendatangkan dalil dari Quran dan Sunnah dengan tepat dan tidak direka-reka. Daripada pergerakan solat saya, saya menyedari ia berkesan kepada kehidupan seharian saya. Cara saya bekerja, cara saya menyelesaikan kerja dan cara saya berfikir tentang kehidupan saya. Rupa-rupanya, cara solat saya sudah mencerminkan kehidupan saya! Itu yang saya pelajari daripada gelombang vortex itu tadi. Dengan asas yang nampak simple tapi kukuh, ia dapat menggerakkan air sebesar-besar balang menjadi pusaran yang sangat kuat. Ah! Berbual mengenai solat pula pagi ini. Permulaan yang sangat baik bagi tahun 2012!  wallahualam. Jika salah, betulkan saya. 


IMG_0483
budak suka dinasour!

IMG_0486
teater dinasour pun nak tonton.

IMG_0487
cara klasik jika nak bergambar dengan dinasour tak pakai seluar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...