pengikut-pengikut yang menawan

Tuesday, February 26, 2013

icon


16 Januari 2005

Semasa saya bersekolah menengah, saya telah dimasukkan ke asrama sebuah sekolah yang bernama SHAMS (Sheikh Abdul Malek School) oramputeh betul nama skolah tuh. Sekolah tersebut terletak di Kuala Terengganu. Antara sekolah terbaik yang menghasilkan para pelajar terbaik. Saya? tidak berapa sangat termasuk dalam golongan itu. Ketika dimasukkan ke aspura (asrama putera), saya telah berkenalan dengan beberapa orang senior yang saya kagumi. Antaranya ialah Hazimin. Beliau bukan sahaja menjadi kegilaan para pelajar perempuan, malahan, beliau juga pandai main bola sepak. Masih saya ingat lagi selepas bermain bola waktu pagi ketika cuti, saya lepak di dalam dormnya dan saya melihat satu poster David Beckham. Hazimin bertanyakan saya "aku ni ada iras2 beckham tak?" saya angguklah. takkan nak lawan senior. tapi beliau sangat mengagumi David Beckham yang dianggap idolanya. Bertepatan dengan kehandalannya bermain bolasepak.

Semenjak itu, saya semakin meminati Manchester United walaupun umur saya telah dianggap tua dan ketinggalan zaman untuk meminati MU iaitu sekitar umur 14 tahun. Apa yang saya ingat, MU akan bersaing sengit dengan Liverpool. Bola saya tak tahu, tapi saya sudah mula mengikuti jejak langkah senior saya dalam meminati Beckham. Kumpulan muzik yang saya minat ketika itu Backstreetboy. Tak ketinggalan sangatlah kan?

Pada bulan september 2003, saya menaiki pesawat SV menuju ke Kota Makkah. Ia adalah pesawat saudi kali kedua yang saya naiki setelah pergi mengerjakan umrah pada tahun 2001. Azam saya untuk kembali telah dimakbulkan Allah untuk menuju ke Baitullah buat kali kedua dengan lebih lama. Saya mendapat tawaran belajar di Umm AlQura university. Saya terpaksa membeli tiket kapalterbang kelas perniagaan kerana tiket telah kehabisan dan saya terpaksa pergi melaporkan diri dengan lebih awal. Maaf. Bukan saya yang beli. Ibubapa saya yang belikan tiket tersebut. 

Ketika menaiki pesawat, saya duduk di sebelah gadis arab yang tak berapa nak tutup sangat pakaiannya. Saya tak kesah. Tiba-tiba saya terpaksa tukar tempat duduk dengan adik lelakinya yang diarahkan oleh ayah beliau supaya tukar. Saya tak kesah. Saya bersama rakan baru iaitu Ahmad. Seorang remaja arab yang peramah dan baik hati. Banyak yang kami perbualkan. Kami berbual dalam bahasa inggeris yang lintang pukang. Takpalah. Asal masing-masing memahami apa yang ingin disampaikan sudahlah. 

Kami berbual sehingga sampai topik mengenai idola. Beliau bertanyakan saya siapakah idola saya dalam arena bolasepak. Saya dengan pantas menjawab tanpa memperdulikan zon masa dan daerah yang telah kapalterbang lewati iaitu "David Beckham!". Ahmad terdiam dan kembali bertanya kenapa? Saya menjawab sebab dia memang sangat terkenal dan handal. Ahmad cuba bersuara, namun dihalang oleh pramugari yang time tu pulak sibuk nak tanya makan apa. Saya diarahkan oleh Ahmad untuk mencuba 'waragah enab'. Apakebenda lah makhluk nih. saya order dan cuba makan. Puiii. saya meludah jauh tersasar terkena kaki sendiri. Masam dan kelat. Ahmad ketawa dan berkata. Jika nak jadi arab, kena belajar makan waragah enab nih. (waragah enab) adalah sejenis makanan seperti tapai yang disalut dengan daun anggur. Dia merenung dalam mata saya sambil meneruskan bual bicara.

"Ya Lutfi.." sememangnya satu dunia mengenali Beckham. Jika kau datang ke Saudi pun, rata-rata remaja mengenali Beckham. Kerana apa? kerana ia adalah satu ikon yang telah dicipta untuk dijadikan idola kepada ramai orang. Ia telah dibrandingkan. Sehingga orang menganggap beliaulah paling hebat dan terhandal. Sedangkan dalam masa yang sama, ramai lagi orang lain yang lebih hebat dan mahir selain beliau. Ahmad mengunyah waragah enab itu tadi seolah-olah mengunyah cucur udang. Apa jenis selera entah. Dia menyambung bualnya. 

Percayalah Lutfi, kita hari ini, sangat cepat terpengaruh. Amerika sudah lama mencipta satu ikon yang akan menjadi ikutan ramai orang sehingga hari ini. Apa sahaja yang dicipta akan dipastikan berjaya dan menjadi sanjungan. Betul tak? 

Saya terpikir dan berfikir sehingga kami tiba ke lapangan terbang sultan abdul aziz, jeddah. Cuaca semakin membahang di luar. Saya masih lagi belum mengetahui nasib saya di tanah asing ini. Saya tiba-tiba merindui Kuala Terengganu...

Apa yang ingin disampaikan oleh Ahmad dan saya ialah, kita kini kekurangan 'IKON' untuk ditonjolkan. Baik dari segi agama, akhlak, mentaliti atau sebagainya. Bukan saya menafikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan ikon terbaik. Akan tetapi, hakikatnya, kita juga memerlukan ikon sekitar dan sekeliling yang boleh membawa kita menuju ke jalan yang baik dan selamat. Sama-sama kita pikirkan mengenai penjenamaan, iconic dan publisiti itu tadi. Ia adalah perkara yang berkait untuk mempengaruhi banyak orang di dunia ini. 

Oh ya. gambar di atas diambil sekitar tahun 2005. Saya bekerja sebagai pegawai penterjemah di masjidilharam. Tak pandai sangat pun cakap arab. Belasah jer. baru 8 tahun lepas peristiwa itu berlalu.. 

Nanti kita celoteh lagi. wassalam.

1 comment:

arain said...

He..he...he...Fi agaknya maser tu mata ko meliyor sgt kot...tu yang bapak budak tu suh adik lakinya bertukar tempat....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...